RUNGUTAN mengenai tempoh masa mengecas dan penggunaan telefon pintar pelbagai fungsi canggih kini berakhir dengan penampilan Samsung Galaxy S6 dan Galaxy S6 edge.
Dua telefon pintar yang meneruskan kelangsungan siri telefon pintar Samsung Galaxy S itu mempunyai keupayaan mengecas dipertingkatkan, seperti yang disaksikan sendiri pada tayangan promo semasa majlis pelancarannya di ibu negara, Khamis lalu.
Tayangan promo itu menunjukkan tahap kepuasan yang dipamerkan oleh juara profesional drift negara, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel mengenai keupayaan kedua-dua peralatan berkenaan dari segi penjimatan masanya sebagai ahli sukan dan juga ahli perniagaan.
Tempoh mengecas hanya selama 10 minit diperlukan bagi membolehkan peralatan berkenaan berfungsi bagi sekurang-kurangnya empat jam.
Malah, pengguna juga mempunyai pilihan mengecas menggunakan pad khusus tanpa wayar yang ditampilkan oleh Samsung.
Secara keseluruhan, Samsung Galaxy S6 dan Galaxy S6 edge memberikan satu lagi pilihan kepada pengguna kelas menengah yang sentiasa sibuk dengan tugasan harian.
Tidak menghairankan, apabila Samsung Malaysia Electronics berusaha untuk menonjolkan sisi perniagaan dalam kedua-dua peralatan baharu berkenaan.
Dengan reka bentuk ilham baharu yang diperkemaskan berbanding siri terdahulu, Samsung Galaxy S5, dua telefon pintar baharu Samsung disasarkan kepada pengguna enterpris.
Ia menggabungkan bahan premium dengan teknologi termaju Samsung, dengan hanya satu matlamat: menghasilkan pengalaman mudah alih perniagaan yang tidak dapat disaingi.
Direka bentuk kemas daripada logam dan kaca, Samsung Galaxy S6 dan Galaxy S6 edge benar-benar mencantumkan rekaannya dengan ciri-ciri baharu lebih berkuasa.
Samsung Galaxy S6 edge, khususnya memperagakan rekaan unik dengan paparan melengkung di kedua-dua bahagian badannya.
Ia ciri-ciri pertama seumpamanya pernah dihasilkan dalam industri telefon pintar.
Kualiti paparan melengkung berkembar menggunakan reka bentuk quad HD AMOLED, jelas mengatasi peralatan untuk pasaran entrpris lain.
Pengguna boleh melihat dokumen perniagaan, angka dan merakam teks dengan mudah menerusi paparan yang meningkatkan lagi pengalaman penggunaannya.
Notifikasi berwarna di sisi Samsung Galaxy S6 edge memastikan pengguna tidak akan terlepas panggilan manakala badan Gorilla Glass 4 kelihatan lebih elegan berbanding siri Galaxy S sebelumnya.
Reka bentuk menawannya dilengkapi pula dengan ciri-ciri perkakas berkuasa tinggi bagi memaksimumkan produktivitinya.
Ia dilengkapi dengan pemproses berprestasi tinggi Exynos 64 bit 14 nm Octa-core selain mempunyai paparan muka pengguna lebih ringan bagi menghasilkan pelayaran yang lancar.
Pengguna juga boleh menikmati fungsi pelbagai tugas sebenar bagi seluruh aplikasi berkaitan produktiviti.
Dari aspek keselamatan, platform binaan dalam Samsung KNOX menyediakan perlindungan masa sebenar bagi peralatan dan data daripada sebarang potensi serangan berbahaya.
Sebaik saja Samsung Galaxy S6 diaktifkan dengan MDM, pengguna boleh beralih dengan selamat antara satu fungsi kerja yang dilindungi kata laluan dengan aplikasi peribadi lain, hanya dengan satu sentuhan.
Bagi pengurus, sudah pasti mereka lebih yakin bahawa data syarikat selamat dan mampu diuruskan di dalam pelindung KNOX.
Pengguna pula akan menghargai kebebasan untuk menukar tetapan peralatan dengan pelbagai aplikasi serta data peribadi, tanpa perlu berasa bimbang.
INFO:
Harga runcit:
Samsung Galaxy S6 RM2,599; Samsung Galaxy S6 edge RM3,099, termasuk enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan opsyen storan 16GB.
Pilihan warna:
Samsung Galaxy 6 White Pearl, Black Sapphire, Gold Platinum dan Blue Topaz; Samsung Galaxy S6 edge Green Emerald
Tarikh pelancaran:
17 April 2015
Pra tempahan:
3-16 April 2015 di laman web Samsung Malaysia