
Ribuan penduduk Palestin telah mengadakan himpunan solidariti kepada pelarian di kem Yarmouk, Syria, di Tebing Barat.
PALESTIN, 7 April – Pegawai kanan Hamas, Salah al-Bardawil merayu agar ribuan rakyat Palestin di kem Yarmouk dilepaskan daripada tawanan kumpulan militan negara Islam (IS).
“Untuk sekian kalinya, tolong bebaskan kem Yarmouk. Jangan diapa-apakan rakyat Palestin yang berlindung di situ.
“Mereka sudah lama menderita dan kebuluran,” katanya.
Laporan menyebut hampir 90 peratus daripada kem pelarian Palestin di Yarmouk kini ditawan kumpulan bersenjata IS dalam usaha mereka menawan ibu negara Syria, Damsyik.
IS menguasai sebahagian besar kem tersebut selepas melancarkan serangan kilat pada pagi Rabu lalu dan kemudian menawan hospital yang terletak di tengah-tengah kem pelarian berkenaan.
Menurut Ahli Tertinggi Hamas, Muhammad Abu Askar, apa yang terjadi di Kem Yarmouk ketika ini adalah satu krisis kemanusiaan yang nyata.
Justeru, beliau meminta kepada kepimpinan Palestin dan negara-negara Arab untuk bertindak menyelamatkan kem tersebut.

Kanak-kanak antara ribuan pelarian Palestin yang berlindung di kem Yarmouk.
Semalam, ribuan penduduk Palestin telah mengadakan himpunan solidariti kepada pelarian di kem Yarmouk, Syria.
Himpunan yang diadakan di Semenanjung Gaza meliputi jalan-jalan utama di bandar Khan Younis itu mengutuk tindakan IS di samping mendesak rakyat Palestin di kem tersebut tidak diapa-apakan.
Untuk rekod, Kem Yarmouk menempatkan hampir 18,000 pelarian Palestin dan Syria sebahagian besarnya adalah wanita dan kanak-kanak.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga mendesak supaya bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk bagi membantu 18,000 pelarian Palestin di kem berkenaan. – Agensi
Admin: Jangan pernah kita buang penderitaan rakyat Palestin dari hati kita walau kita sendiri menderita kerana GST, mari2 sama2 kita doakan keselamatan rakyat Palestin dan mohon ALLAH permudahkan urusan kita untuk membantu diri kita sendiri, keluarga dan umat Islam yg lain. Moga ALLAH sentiasa bantu.