Manga (komik) Naruto sudah habis.
Aku tak ingat bila ia tamat, rasa macam baru sahaja. Tahun lepas? Anime Naruto
pula baru habis semalam. Aku sempat menontonnya, memang rasa nostalgia betul.
Aku tak ingat dah bila aku mula
mengenali Naruto. Tapi memang aku ikuti perkembangannya sejak ia awal-awal ia
dicipta. Kenal bukan daripada komik, aku kenal daripada anime dia dulu di TV3.
Mungkin lambat sikit aku kenal.
Selepas itu, aku tak ikuti sangat
anime dia. Aku beli komiknya sendiri setiap minggu sebab lebih kedepan. Aku
simpan duit kot untuk beli komik Naruto!
Tema komik Naruto sangat kuat
mengetengahkan beberapa perkara iaitu revolusi, persahabatan dan eksistensial.
.
1. KEBODOHAN DAN REVOLUSI
Perwatakan Naruto boleh dikatakan
sebagai watak yang bodoh. Tak pandai, tak cemerlang dalam ninjutsu mahupun
intelektual. Tak cukup dengan itu, dia juga suka buat benda-benda bodoh di masa
kecilnya seperti menconteng-conteng tugu Hokage ke-3 untuk mendapatkan
perhatian masyarakat.
Ketika melakukan misi pun, dia
selalu juga melakukan benda bodoh juga.
Dalam setiap kumpulan yang satu
'batch' dengan Naruto pun akan ada watak-watak ini seperti Rock Lee, Akimichi
Chouji, dan Inuzuka Kiba. Malah, dalam kumpulan Minato pun ada watak sebegini
iaitu Uchiha Obito.
Perkara yang menarik adalah, kita
tak nampak kebodohan mereka. Kalau nampak pun, kebodohan ini seolah-olah
tenggelam dan hanyut kerana sifat nekad dan keazaman dalam diri mereka.
Kritikan sosial yang diketengahkan
menunjukkan realiti orang yang bermasalah dan bodoh sering dipandang rendah
oleh masyarakat seperti mana Naruto pernah disisih kerana masalah sumpahan
Kyubi dan ditambah lagi dengan kebodohannya dalam akademi ninja.
Ketika berlakunya 'penindasan
halus' ini, terdapat satu hal yang tak terpadam dalam diri Naruto dan orang
senasib dengannya iaitu keazaman dan kekuatan untuk berubah.
Naruto berazam untuk menjadi
Hokage dan mahu orang kampungnya 'acknowledge' dirinya. Mengakui kewujudannya.
Api keazaman inilah yang
membuatkan hal-hal negatif yang dilakukannya tenggelam dan tak dapat
'dicontohi' oleh kanak-kanak yang menonton. Yang menjadi perhatian adalah
kekuatan azam itu.
Rock Lee yang langsung tak pandai
sering diejek oleh ninja-ninja di sekelilingnya. Lebih teruk lagi sewaktu Might
Guy masa kecil, lagi ramai yang memperlekehkannya.
Hal ini bukan benda baru dalam
realiti kita yang mana, orang yang tidak mempunyai kemahiran teras seperti
pengetahuan IT, kemahiran memandu, tak tahu berurusan dengan Bank akan selalu
diejek 'noob'. Kemahiran teras dalam akademi ninja Naruto adalah kemahiran
ber'ninjutsu'.
Mungkin ejek-ejek ke orang
sebegini kita rasa kecil, tapi kesan psikologinya sangat besar apabila selalu
dilakukan dan dicemuh 'itu pun tak reti'.
Might Guy dan Rock Lee mempunyai
kekuatan untuk mengubah diri mereka dan membuktikan yang mereka berguna. Mereka
mengajar kita, tiada siapa yang dapat mengubah diri kita, melainkan kita kena
ubah diri kita dulu.
Apakah revolusi yang mereka bawa?
Revolusi adalah merobohkan idea
dan fahaman lama, kemudian membangunkan idea dan fahaman baru. Mungkin mereka
tak merevolusi sesuatu yang fizikal seperti undang-undang dan pendidikan.
Tetapi mereka merevolusikan jiwa dan persepsi.
Mereka menanam idea supaya orang
yang mempunyai kekurangan dan bermasalah patut diterima keadaan itu dan pimpin
mereka ke arah yang lebih baik, bukan disisih dan dimain-mainkan.
.
2. PERSAHABATAN, KEPERCAYAAN DAN
HARAPAN
Persahabatan yang dibawa oleh
watak-watak Naruto bukan hanya sekadar tolong-menolong, bukan sekadar beri
memberi. Tetapi membumikan sebuah kepercayaan dan harapan.
Tema yang kuat diketengahkan di
sini adalah persahabatan antara Naruto dan Sasuke. Naruto dan Sasuke selalu
bergaduh. Kita tak nampak Naruto dan Sasuke saling memberikan hadiah, saling
meminta nasihat.
Kita tak disajikan sebuah
persahabatan yang remeh-remeh.
Apa yang mahu dibawa adalah
kepercayaan dalam sebuah persahabatan. Lihatlah bagaimana Naruto masih percaya
Sasuke adalah sahabatnya walaupun Sasuke telah mengkhianati kampung.
Lihatlah bagaimana Naruto menanam
sebuah harapan bahawa Sasuke mampu kembali ke pangkal jalan walaupun telah jauh
tersasar.
Persahabatan yang memimpin sesama
mereka menuju ke jalan yang betul. Persahabatan yang menunjukkan mereka apa itu
erti harapan sewaktu gundah gulana menempuh malapetaka kehidupan.
Kita tak disajikan persahabatan
antara mereka. Lihatlah persahabatan antara Kakashi dan Obito yang turut
membawa kuasa persahabatan yang sama seperti Naruto dan Sasuke. Ada juga
persahabatan antara Shikamaru dan Choji. Ino dan Sakura. Hiruzen dan Danzo.
Jiraiya dan Orochimaru. Itachi dan Shisui.
Walaupun jalan kehidupan mereka
berbeza. Mereka membawa makna persahabatan yang sama. Kepercayaan dan harapan.
Malah, Konoha sendiri menerapkan
satu kepercayaan tidak akan mengkhianati komrad.
.
3. EKSISTENSIAL DAN TAKDIR
Eksistensial ini adalah idea
mencari makna kehidupan. Mencari makna yang dibawa dalam Naruto sangat
tertekan.Ia sukar untuk dicari kerana idea
ini selalu diketengahkan oleh watak-watak yang mempunyai masa silam yang
tragis.
Kakashi berdepan dengan kematian
ayahnya yang membunuh diri memikirkan apakah yang makna hidup yang lebih
penting antara persahabatan dan kepentingan misi.
Itachi berdepan dengan konflik
apakah yang patut dia pilih untuk dirinya. Kepentingan kampung ataupun
kepentingan keluarga?
Shikamaru sendiri bergelut dengan
sifat semulajadi dirinya yang mahu menjadi normal dan biasa-biasa, tetapi
terikat dalam kedudukan yang menjadi orang penting kerana kebijaksanaannya.
Neji tetap akan pendiriannya
dengan maksud eksistensial sudah tidak perlu lagi kerana ia telah pun
ditetapkan. Yang hebat akan terus hebat. Yang lemah akan terus lemah.
Watak-watak yang bergelut dengan
eksistensial ini, akan ada watak penyokong yang memastikan mereka terus lurus
dalam memilih jalan kehidupan mereka.
Watak-watak ini adalah watak
harapan seperti Naruto, Shisu, Obito, dan Rock Lee. Mereka tidak bergelut
dengan masalah ini walaupun mempunyai masa silam yang tragis.
Mereka berpendirian, dunia
mempunyai harapan dan keadaannya boleh jadi baik dan aman, yang mana setiap
individu mempunyai ketenangan mereka yang tersendiri.
Naruto memberikan harapan kepada
Neji dan Sasuke. Obito memberikan harapan kepada Kakashi yang akhirnya mereka
menemui jawapan kewujudan mereka.
Setiap orang mempunyai pergelutan
ini. Mencari makna dan arah tuju hidup yang dipengaruhi oleh pengalaman lepas
dan suasana sekeliling. Dalam mencari itu, kita akan jumpa orang yang akan
memberikan pencerahan kepada kita tanpa dia tentukan ke mana harus kita tuju.
Terima kasih, Naruto. Terima
kasih, Masashi Kishimoto.