- Cory Nieves bijak mencari peluang untuk membantu ibunya menjana pendapatan.
MESKIPUN baru berusia 10 tahun, Cory Nieves bijak mencari peluang untuk membantu ibunya menjana pendapatan.
Kini, kanak-kanak ini bergelar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikatnya, Mr. Cory’s Cookies.
Nieves memulakan perniagaannya lima tahun lalu selepas berpindah ke New Jersey bersama ibunya Lisa Howard, dari Bronx, Amerika Syarikat.
Keadaan sejuk yang terpaksa dihadapi setiap kali turun dari bas membuatkannya terfikir bagaimana cara untuk membeli kereta.
Dia mencadangkan kepada ibunya untuk menjual koko panas, sebelum menambah makanan sampingan lain seperti pencuci mulut dan biskut.
“Pada awalnya saya memang tidak tahu apa-apa. Saya mula cari resipi di majalah dan mula reka resipi sendiri.
“Ia juga bebas bahan pengawet atau perisa tiruan. Saya tidak mahu beri orang makan sesuatu yang saya tidak makan,” katanya.
Dari dapur rumah, Nieves mengembangkan perniagaan sehingga dia terpaksa memindahkan operasi ke sebuah kawasan yang lebih komersial.
Pada 2012, perniagaannya diperbadankan menjadi sebuah syarikat liabiliti terhad (LLC).
Bagaimanapun, undang-undang buruh kanak-kanak melarang Nieves bekerja di dapur dan ibunya mengambil alih segala tugas membakar biskut.
Kini, Nieves mampu menjual sehingga 1,000 keping biskut setiap hujung minggu pada harga AS$3 (RM14) sekeping. – CBS News