MENJANGKAU empat dekad mewarnai industri muzik tempatan, menjadikan penyanyi legenda, Datuk Dr M. Nasir dilihat sebagai penghibur yang dihormati.
Biarpun aliran muzik kian berubah, namun namanya belum pernah pudar bahkan pengaruh muzik yang dibawa masih relevan sehingga ke hari ini.
Jika diimbas kembali perjalanan kariernya, pelbagai pencapaian telah diraih malah, pengembaraannya juga belum menemui titik noktahnya.
Bagi melengkapkan lagi portfolio sebagai penghibur, platun lagu Mantera Semerah Padi ini bakal beraksi menerusi konsert solo ‘M. Nasir...kembara’ di empat lokasi terpilih iaitu Kuantan, Pahang Pasir Gudang, Johor, Seberang Jaya, Pulau Pinang dan Shah Alam, Selangor bermula 24 Mei sehingga 7 Novermber ini.
Teruja untuk beraksi menghiburkan peminat di seluruh negara, M Nasir mengharapkan konsert berskala besar itu berjalan seperti yang dirancang.
“Alhamdulillah, saya sangat teruja dan memang tidak sabar untuk bertemu peminat di luar Kuala Lumpur.
“Pada masa yang sama saya juga sangat berbesar hati kerana mendapat pelbagai sokongan untuk merealisasikan konsert ini terutamanya buat penaja utama kami First by Celcom.
“Dengan kepercayaan dan peluang ini, mengharapkan konsert ini berjaya bukan sahaja dari sudut penonton yang memenuhi ruang yang disediakan, malah keseluruhan persembahan dapat berjalan dengan baik,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media
Konsert M. Nasir...kembara, baru-baru.
Majlis turut dihadiri Pengarah Produksi Luncai Emas, Keon Omar dan Ketua Pegawai Pemasaran & Jualan Celcom Axiata Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin.
Bercerita lebih lanjut mengenai persiapan konsert, M. Nasir akui mengadakan konsert jelajah bukanlah sesuatu yang asing buat dirinya.
“Sebagai penyanyi, ini memang kerja kita, kalau ditanya mengenai persiapan, secara mental memang saya teruja dan tidak sabar untuk membuat persembahan itu.
“Tapi mungkin dari sudut lain ia agak sukar memandangkan konsert ini dijalankan di luar Kuala Lumpur dan kita akan hadapi situasi yang agak berbeza.
“Semua persembahan pasti memiliki cabaran dan untuk persembahan kali ini juga saya yakin cabarannya juga tidak lari jauh dengan konsert-konsert yang terdahulu,” katanya.
Difahamkan, M. Nasir tidak keseorangan membuat persembahan apabila turut mengundang beberapa penyanyi undangan seperti Spider, Fynn Jamal dan Pita Hati selain penampilan khas kumpulan Kembara di beberapa lokasi yang telah ditetapkan.
Karnival ‘Lets Nyanyi’
Tidak hanya menghiburkan peminat setianya, bersempena konsert jelajah ini juga, Luncai Emas turut menjalankan siri pencarian bakat baharu menerusi karnival ‘Lets Nyanyi’.
Pencarian ini hanya akan dijalankan pada sebelah siang hari konsert di setiap empat lokasi bermula jam 10 pagi.
Penyertaan hanya terbuka buat peserta berusia 16 hingga 25 tahun yang memiliki bakat dalam bidang nyanyian.
Peserta yang berjaya terpilih sebagai pemenang akan dijadikan sebagai penyanyi di bawah naungan Luncai Emas.
sumber: sinarharian