SYDNEY - AUSTRALIA. Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 menemui sebuah kapal karam yang tiada dalam rekod senarai kapal karam di dasar Lautan Hindi, lapor AFP.
Penemuan kapal karam tersebut memberi harapan baharu kepada pencarian pesawat MASya yang tidak dapat dikesan sejak 8 Mac 2014.
Menurut pihak Australia, serpihan dari kapal karam itu seperti sauh dan beberapa objek lain kelihatan di kedalaman kira-kira 3.9 kilometer di bawah air yang diimbas oleh sistem sonar.
Menurut Pengarah Operasi SAR, Peter Foley, penemuan itu sesuatu yang menakjubkan dan membuktikan bahawa sistem, peralatan dan pasukan yang mereka miliki mampu mengesan MH370 jika ia di dasar laut.
“Namun ia bukanlah satu penemuan yang kita harapkan...bukan bangkai pesawat MH370. Kami kecewa tetapi kami sentiasa realistik mengenai segala kemungkinan.
“Penemuan ini membuktikan jika terdapat bangkai kapal di kawasan pencarian, kami dapat mengesannya," katanya.