Kelihatan beberapa pegawai penyiasat membawa serpihan bangkai pesawat yang dijumpai di persisiran pantai Pulau La Reunion. - Foto EPA
SHAH ALAM - Serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion di Lautan Hindi disahkan sebagai salah satu dari bahagian pesawat jenis Boeing 777.
Namun Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi yang mengesahkan perkara itu berkata, bahagian sayap atau ‘flaperon’ itu belum dipastikan milik pesawat MAS, MH370 yang hilang pada Mac 2014.
“Ya, MAS memberitahu saya bahagian sayap yang menunjukkan nombor itu adalah Boeing 777 tapi tak bermakna itu milik MH370. Ia sahkan sayap itu milik (Boeing) 777,” katanya yang dipetik dari laporan The Star.
Pasukan penyiasat dari Malaysia dijangka tiba esok untuk siasatan lanjut.
“Mereka mahu ke lokasi penemuan serpihan itu. Selain itu, mereka juga akan memeriksa beg-beg yang ditemui di pulau dan membuat siasatan di sekitar pulau,” katanya.
Sayap yang ditemui Khamis semalam itu dijangka akan disiasat oleh penyiasat dari Malaysia dan Perancis di makmal yang diiktiraf di Toulouse.