
Seorang sami Buddha yang pernah bertugas 28 tahun di Taiwan melafazkan dua kalimah syahadah di Masjid Krubong, Melaka, semalam.
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 7 April – Kesediaan seorang sami Buddha memeluk Islam di Melaka semalam membuktikan kebenaran dan keindahan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW lebih 1,400 tahun yang lalu.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Persatuan Cina Islam Malaysia Cawangan Melaka (MACMA), Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka, Ir Haji Mohd Khoushaini Mohd Naim, berkata Islam merupakan satu cara hidup yang menggabungkan keseluruhan diri, bukan secara zahir sahaja.
“Ia adalah satu gabungan cara hidup yang berpegang teguh dengan ajaran Islam dan mengamalkan seluruh ajaran Islam dalam semua sudut kehidupan.
“Islam bererti tunduk dan taat setia secara rela. Mereka yang percaya dan rela hati mengamalkan ajaran Allah dan menjauhi laranganNya merupakan seorang muslim
“Jadi, kita ucapkan tahniah kepada MACMA Melaka atas usaha ini,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kesediaan oleh seorang sami Buddha yang pernah bertugas di Taiwan selama 28 tahun untuk memeluk Islam di sebuah masjid di Melaka, semalam.
Dharma Fa Min Sami berketurunan Cina dan berusia 66 tahun dikatakan mempunyai pengalaman selama 28 tahun sebagai sami di Taiwan.
Sami tersebut telah mengucap dua kalimah syahadah dalam satu majlis ringkas di Masjid Krubong, Melaka yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Yaakub Md Amin dan Mufti Negeri, Datuk Dr Mohadis Yasin.
Menurut Presiden MACMA, Lim Jooi Soon, hampir 30 tahun sami berkenaan mengkaji setiap agama di dunia ini.
“Dalam pengkajian itu, dia cuma menemui Islam sebagai sebuah agama paling lengkap dan meliputi segala aspek setiap kali berhujah.
“Dia banyak melihat agama Islam ini semakin berkembang, tetapi dia tidak tahu puncanya.
“Akhirnya, dia berjumpa saya dan saya telah menerangkan dengan menggabungkan bagaimana logik, sains dan hujah dapat dikaitkan dengan pencipta alam ini menyebabkan dia tertarik untuk memeluk Islam,” katanya.
Sumber: ISMAWEB