Berbuka puasa sambil menikmati keindahan kota Kuala Lumpur dalam remang senja menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Kira-kira 300,000 orang pengunjung dijangka hadir pada 'Festival IFTAR @ KL 2015' yang berlangsung setiap hujung minggu sepanjang Ramadan ini di Jalan Raja, Dataran Merdeka, di sini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Phesal Talib berkata sasaran itu berjaya dicapai kerana lebih banyak aktiviti istimewa dan penuh dengan pengisian tersendiri telah diatur pada tahun ini.
"Festival tahunan ini akan menampilkan kelainan seperti pertandingan nasyid, soal jawab agama, dan pameran pelancongan masjid," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran IFTAR @ KL 2015, di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Tan Sri Ong Hong Peng.
Ahmad Phesal berkata, aktiviti solat Maghrib dan tarawih berjemaah juga diadakan selain alunan dikir zikir oleh beberapa figura terkenal antaranya kumpulan nasyid Hijjaz dan Rabbani.
Majlis perasmian festival tersebut menyaksikan acara berbuka puasa beramai-ramai dan pengagihan bubur lambuk yang disertai lebih 3,000 orang masyarakat berbilang bangsa termasuk pelancong asing dari pelbagai negara.
Festival IFTAR @ KL mula dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Festival tersebut hanya berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad sahaja sepanjang Ramadan. - Bernama