Sebelum seseorang itu terlibat dalam apa jua kontrak dalam
muamalat, seseorang itu mesti ada kelayakan. Kelayakan inilah yang dikenali
sebagai ahliyyah.
Ahliyyah; Kelayakan; Sifat yang tetapkan oleh Syariah ke
atas seseorang yang memungkinkan seseorang itu menerima taklifan atau hak.
Terdapat dua bentuk kelayakan;
1. Kelayakan Wajib. Yang dimaksudkan dengan kelayakan wajib
ini ialah kelayakan seseorang manusia itu untuk menerima sesuatu. Kelayakan ini
dianggap wajib ada bagi seseorang insan, apabila insan itu disahkan hidup.
Kelayakan ini wujud sejak seseorang itu masih janin, walaupun tidak sempurna,
dan kelayakan ini akan sempurna sebaik sahaja ia dilahirkan. Contohnya seorang
bayi yang dilahirkan, sudah ada kelayakan untuk menerima harta pusaka, atau
hadiah pemberian orang lain. Bahkan sejak daripada dalam kandungan dia sudah
ada hak, tapi hak itu belum dianggap sempurna, dan tertakluk kepada sama ada
dia lahir ke dunia atau tidak. Inilah yang dinamakan kelayakan wajib. Inilah
hebatnya Islam, mengiktiraf kelayakan seseorang itu, sejak awal ia mula wujud.
2. Kelayakan Melaksanakan . Kelayakan untuk melaksanakan
pula bermaksud seseorang itu dianggap layak untuk melakukan sesuatu kontrak.
Kelayakan ini dianggap bermula apabila seseorang itu mumaiyyiz, tetapi
kelayakan ini ketika itu masih dianggap tidak sempurna selagi belum baligh.
Jika seseorang itu sudah baligh, maka sempurnalah kelayakan seseorang itu untuk
melakukan sesuatu kontrak. Contohnya seorang kanak-kanak sekolah membeli, semua
urusan mereka tertakluk kepada keizinan daripada penjaganya, dan keizinan ini
boleh dikenal pasti berasaskan kepada kebiasaan masyarakat.
Ini asas dalam fiqh muamalat. Harap rajin membacanya.