sumber: penulis sinar harian
JEPUN sentiasa berada dalam radar pengembaraan saya. Jika sebelum ini acap kali ke Tokyo, kini saya berpeluang menjelajahi alam yang indah di kepulauan Hokkaido.
Hokkaido sebuah pulau besar yang terletak di bahagian utara Jepun. Penerbangan dari Narita ke Lapangan Terbang New Chitose ambil masa sejam. Berbanding kepulauan lain di Tokyo yang sibuk dan padat, Hokkaido yang terkenal dengan cara hidup ‘perlahan’ beri sumber ketenangan kepada penduduk di sini.
Selain menawarkan pemandangan alam semula jadi yang indah pada musim sejuk, di sini juga terdapat pelbagai kawasan menarik untuk diterokai dan tidak mustahil Hokkaido bakal menjadi destinasi musim sejuk nombor suatu masa nanti.
Tarikan onsen, snowmobile
Setibanya kami di Hokkaido, kami terus ke Noboribetsu dengan menaiki bas. Dengar kata, tiada tempat yang lebih baik untuk mencuba onsen (mandian air panas) selain Noboribetsu. Noboribetsu adalah bandar yang terkenal dengan resort-resort onsen yang terkemuka di
Hokkaido. Ia menawarkan sembilan jenis kolam air panas yang berbeza, setiap satunya memberi manfaat yang berlainan untuk anda. Patutlah Noboribetsu digelar Hot Springs Department Store dunia!
Selepas berjalan seharian, bermandian di onsen di salah satu resort di Noboribetsu pada waktu malam pada musim sejuk adalah aktiviti yang amat menenangkan - pasti badan terasa segar untuk hari-hari yang seterusnya.
Keesokan harinya, kami menaiki tren ke Onuma yang terkenal dengan taman nasional dikelilingi gunung-ganang, tasik-tasik dan hutan-rimba.
Dari stesen Onuma Koen, kami hanya perlu berjalan beberapa minit sebelum tiba di Onuma Park. Di sini, dengan hanya JPY1000 (RM30), anda boleh melakukan pelbagai aktiviti musim sejuk seperti menunggang kenderaan salji (snow mobile) atau snow buggy dan
memancing ikan di tasik dengan berlatarbelakangkan gunung ikonik Komagatake.
Menunggang kenderaan salji adalah salah satu aktiviti yang sangat menyeronokkan! Paling menarik, hanya selepas menunggangnya untuk beberapa ketika, kami tersedar yang sebenarnya kami sedang berada di atas tasik besar di Taman Onuma yang telah membeku!
Bandar romantik Hakodate
Hakodate terletak di hujung selatan Hokkaido. Bandar pelabuhan antarabangsa yang terawal di Jepun, ia dibuka kepada pedagang asing buat pertama kali pada abad ke-18. Disebabkan ini, Hakodate terkenal dengan bangunan-bangunan unik yang dipengaruhi budaya luar.
Hari ini, ia masih lagi memainkan peranan sebagai pusat pelabuhan yang penting di Jepun.
Kami memulakan hari di Hakodate dengan melawati Hakodate Morning Market. Jika Tokyo punyai Tsukiji, Hakodate mempunyai pasar hasil lautnya yang tersendiri.
Hakodate Morning Market menawarkan pelbagai jenis makanan laut yang segar terus dari pelabuhan di Hakodate. Bukan sahaja boleh beli-belah, tetapi memesan dengan sesetengah gerai untuk memasak makanan laut pilihan anda. Bersarapan dengan hasil laut segar di sini merupakan satu kemestian. Inilah masanya untuk anda mencuba sushi dan sashimi yang segar!
Selepas menjamu selera, kami ke Motomachi, kawasan kediaman yang amat popular di Hakodate kerana ia memberikan aura romantis. Ketika Hakodate mula menjadi bandar pelabuhan dan menjalankan aktiviti perdagangan antarabangsa, kawasan ini menjadi pilihan dalam kalangan pedagang asing yang tiba di Hakodate.
Pada musim sejuk, suasana old-fashioned di Motomachi bertambah romantik dengan adanya Hakodate Winter Festival – di mana pokok-pokok di sepanjang jalan di lereng bukit di Motomachi dihiasi lampu-lampu kecil bergemerlapan. Di kawasan Motomachi ini juga, anda boleh melawat bangunan-bangunan bersejarah seperti Hakodate Old Town Hall.
Sebaik senja menjengah, kami mengorak langkah ke Mount Hakodate Ropeway dari Motomatchi, di mana kami menaiki ropeway ataupun kereta kabel untuk ke stesen puncak bagi menikmati pemandangan panoramik bandar Hakodate. Pada musim sejuk, anda boleh melihat bandar Hakodate yang dilitupi salji pada waktu malam, diterangi cahaya dalam pelbagai warna. Pemandangan dari Gunung Hakodate ini bukanlah calang-calang — ia telah dianugerahkan 3 Michelin Star Rating dan digelar sebagai ‘pemandangan yang perlu anda lihat’. Ini juga merupakan cara terbaik untuk mengakhiri malam anda di Hakodate.
Mi soba, Lake Toya
Setibanya kami di stesen keretapi di Oshima, kami menaiki teksi ke Tasik Toya. Tasik ini merupakan salah yang terbesar di Jepun, terletak di Shikotsu-Toya National Park, terbentuk daripada letupan gunung berapi dan dikelilingi kawasan hutan yang mempunyai banyak warisan geologi sejak dari zaman batu lagi. Perjalanan ke Tasik Toya teramatlah indah. Lereng-lereng bukit yang dilalui memberikan kami pemandangan gunung-ganang bersalut salji memutih.
Kami bergerak ke ruang pemerhati Silo Observatory, sebuah menara tinjau yang boleh memberikan pemandangan terbaik Tasik Toya.
Selain menikmati pemandangan di situ, kami juga diberikan peluang untuk mempelajari dan mencuba sendiri proses pembuatan mi soba ataupun di buckwheat noodles Restoran Soba yang terletak di aras atas. Soba merupakan sejenis mi nipis yang diperbuat daripada tepung gandum kuda yang popular di Jepun, dihidangkan sejuk atau dicelup ke dalam sup panas.
Selepas proses menyediakan dan memasak soba selesai, kami menikmati hidangan tersebut bersama sup, sayur-sayuran dan udang rebus. Sememangnya soba diperakui sebagai comfort food tatkala sejuk. Suasana ternyata lebih menarik dengan pemandangan Tasik Toya yang cukup indah.
Beli-belah di Rera Chitose
Tidak lengkap trip ini jika tidak disertakan dengan aktiviti beli-belah. Sebelum ke lapangan terbang, kami singgah dahulu di Rera Chitose Outlet Mall. Outlet mall ini menempatkan lebih 400 jenama tempatan dan antarabangsa pada harga diskaun. Di sini, pelancong boleh membeli pakaian, beg dan aksesori, barangan rumah, sukan dan elektronik. Kami lebih banyak meluangkan masa di Hokkaido Souvenir Shop untuk membawa pulang hasil-hasil agrikultur Hokkaido seperti teh lavender, gula-gula strawberi, jem espresso, keju dan susu lembu yang segar dari ladang.
sumber: penulis sinar harian