- Naruto
WATAK animasi manga, Naruto bukan sahaja popular dalam kalangan kanak-kanak, bahkan ada juga golongan remaja dan dewasa yang menjadi pengikut setia karakter tersebut.
Sejak diterbitkan pada 1999 dan isu terakhirnya pada 2014, Naruto menjadi sebuah komik yang cukup popular dan siri televisyen serta filem berkaitan karya itu juga mendapat sambutan.
Kini, melangkah setapak ke hadapan, tiba masanya karya ini diangkat untuk persembahan pentas menerusi Pembukaan Live Spectacle (Naruto) yang akan diterbitkan sendiri produser asalnya, Masashi Kishimoto, menggunakan teknologi terkini dari segi pembentukan imej, lampu dan pentas.
Lebih mengujakan, Malaysia tersenarai sebagai salah sebuah negara dalam siri jelajah Asia Tenggara ini.
Persembahan Live (Naruto) yang dibawakan JS Concert Productions Sdn Bhd akan dipentaskan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) pada 30 hingga 31 Mei ini, jam 1 petang dan 6 petang.
Persembahan buat julung kali ini bakal menampilkan kelainan dari segi aksi, muzik dan seni persembahan yang tidak pernah ditonton sebelum ini bagi menghidupkan lagi persembahan muzikal serta membuatkan penonton teruja untuk terus menontonnya.
Sepanjang persembahan, peminat juga akan dibawa merasai keajaiban pengembaraan dan merasai sendiri menjadi sebahagian daripada dunia magis manga.
Persembahan muzikal ini bakal diarahkan Akiko Kodama dengan iringan muzik yang dikendalikan Toshio Matsuda. Bukan itu sahaja, ia akan menampilkan muzik dan akrobatik berdasarkan komik asal manga Naruto dari volume 1-17.
Watak Naruto bakal dipegang pelakon Matsuoka Kodai, Sato Ryuji sebagai Sasuke, Ito Yui sebagai Sakura, Suga Kenta sebagai Gaara, Umegaki Yoshiaki (Jiraiya) dan Yumi Hiro (Orochimaru).
Bagi pembikinan belakang tabir persembahan, mereka yang terbabit ialah Masuda Sumiko (Scenery Design), Nishihara Rie (Pereka Pakaian), Miyauchi Hiroaki (Rambut & Mekap), Yoshino Kazutaka (Pergerakan Akrobatik), Yamada Shigeki (Koreografer), Saito Shigeo (Pereka Lampu), Nakajima Satoshi (Pereka Bunyi), Arakawa Hiroki (Video Projection), Kurihara Naoki (Pengarah Aksi), Iimuro Naoki (Mime Movement) and Iimen Masako (Sand Art).
Tiket untuk menyaksikan persembahan ini bermula dari harga RM98, RM198, RM298 dan RM398.