Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 41, menjelaskan dia mula bertudung sejak semalam, selepas nekad mengambil keberkatan malam Nisfu Syaaban mengikut kalendar Islam.
“Saya tidak menolak, ini semua berkat doa daripada keluarga dan peminat yang banyak mendorong ke arah kebaikan. Penghijrahan ini datang dengan tanggungjawab sebenarnya. Semoga bukan hanya penghijrahan tentang bertudung, tetapi juga dalam soal lain dan kita akan sama-sama menjadi muslimah yang lebih baik dari hari ke hari,” katanya.
Dia meminta agar penghijrahannya ini tidak disalahertikan mana-mana pihak dan berharap agar penampilan ini berkekalan sampai bila-bila.
“Saya mahu mereka faham ini adalah permulaan baharu buat saya, mungkin akan mengambil masa untuk lebih sempurna. Sebab itu saya minta semua orang terus menyokong saya dalam penghijrahan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini. - UTUSAN ONLINE