Sambutan "Keluar dari dunia ini" telah dirancang untuk menyambut ulangtahun ke-20 sejak siri anime pasca-bencana Evangelion mula ditayangkan. Syarikat yang mengelolakan hak-hak perlesenan siri anime ini telah mengadakan kempen kutipan dana sebanyak 100 Juta Yen untuk menanam "Tombak Longinus" yang terkenal dari anime tersebut di bulan!
Jika berhasil, projek ini akan menjadi penghasilan semula dari adegan ikonik siri Evangelion. Menurut angkasawan Naoko Yamazaki ketika sidang akhbar penghujung bulan lalu, "Perkembangan teknologi dalam beberapa tahun terakhir telah membuatkan ruang angkasa kosmik dapat diakses oleh orang-orang biasa. Diharapkan seseorang dari generasi masa depan akan mendapatkan kembali (tombak) tersebut dari bulan suatu hari nanti."
Jika semua berjalan lancar seperti yang dirancangkan, tombak sepanjang 240 milimeter dengan model berskala 1:400 akan menuju ruang angkasa lepas pada akhir tahun depan. Hakuto, sebuah pasukan dari Jepun yang mengendalikan kenderaan tanpa pemandu ini ke bulan untuk pertandingan bernilai jutaan dolar Amerika, Google Lunar XPRIZE yang ditaja oleh Google Inc., akan bekerjasama dalam projek ini.
Sebuah peranti penembak tombak akan dilekatkan pada kenderaan tanpa pemandu tersebut yang akan menanam senjata paduan titanium itu ke dalam permukaan bulan dengan alat kawalan dari Bumi. Operasi penanaman tombak ini akan disiarkan secara langsung.