Soalan: Adakah terdapat hadith berkaitan istighfar anak kepada ibubapanya?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Anak merupakan satu anugerah yang terindah dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Ini kerana, tidak semua orang direzekikan oleh Allah SWT untuk merasa nikmat mempunyai zuriat ini. Untuk itu, kita perlu dan wajib bersyukur kepada Allah SWT dengan nikmat yang agung ini.
Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat hadith yang menceritakan berkaitan istighfar seorang anak kepada ibubapanya. Tambahan pula, disebabkan istighfar ini akan mengangkat darjat atau kedudukan seseorang hamba itu jika dia seorang yang soleh. Hadith tersebut adalah:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَرْفَعُ الدَّرَجَةَ لِلْعَبْدِ الصَّالِحِ فِي الْجَنَّةِ، فَيَقُولُ: يَا رَبِّ، أَنَّى لِي هَذِهِ؟ فَيَقُولُ: بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat bagi seseorang hamba yang soleh di syurga. Maka dia berkata: Wahai Tuhan, dari mana yang aku dapat ini? Allah berfirman: dengan istighfar anak kamu kepadamu”. [Riwayat Ahmad (10610)][Syeikh Syuaib al-Arnaouth menghukum sanad hadith ini sebagai hasan disebabkan Asim bin Abi al-Najud. Selain daripadanya adalah perawi yang thiqah dan sahih].
Hadith ini menunjukkan kepada kita bahawa seorang anak itu mampu mengangkat darjat seseorang yang soleh walaupun orang tersebut daripada ahli keluarganya di syurga. Selain itu, terdapat sebuah lagi hadith yang masyhur berkaitan doa seorang anak yang soleh kepada ibubapanya merupakan satu amalan yang tidak akan terputus walaupun ibubapanya sudah tiada di dunia lagi.
Di dalam hadith ini juga ada menyatakan bahawa istighfar seorang anak itu yang akan meningkatkan kedudukan ibubapanya di syurga. Istighfar yang dimaksudkan di dalam hadith ini adalah memohon ampun kepada ibubapanya supaya diampunkan dosa-dosa mereka yang telah lalu ketika hidup di dunia ini.
Penutup
Kesimpulannya, sudah menjadi tanggungjawab seorang anak untuk sentiasa memohon ampun dan berdoa kepada ibubapanya yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia. Akhirnya, semoga kita dan ibubapa kita diampunkan dosa oleh Allah SWT serta ditempatkan di dalam syurga yang tinggi kedudukannya di akhirat kelak. Amin.
Wallahua’lam
Sumber : page rasmi mufti wilayah