Fatalism berakar
daripada falsafah India purba yang membincangkan tentang destini seseorang.
Fatalasim mempunyai beberapa idea utama, iaitu kita tidak mampu mengubah takdir
dan destini kita walau apa pun yang kita lakukan. Seterusnya, menerima nasib
kita seadanya adalah lebih baik daripada cuba untuk mengubahnya.
Neji lahir
daripada keluarga bawahan Hyuga. Pada masa kecilnya, Neji merupakan seorang
yang ceria sama seperti kanak-kanak lain. Dia juga merupakan seorang shinobi
yang berbakat sehingga ayahnya, Hyuga Hizashi melihat Neji mampu mencapai
destini yang lebih masyhur daripada berkhidmat di bawah keluarga utama Hyuga.
Neji mendapat
trauma apabila melihat ayahnya dihukum oleh Hyuga Hiashi kerana sikapnya
sendiri yang tidak dapat menerima nasib Neji yang perlu berkhidmat di bawah
keluarga utama untuk selamanya. Disebabkan Neji terlalu muda untuk memahami
keadaan pada masa itu, Neji menyangka kematian ayahnya adalah kerana terpaksa
berkhidmat di bawah keluarga utama. Tetapi hakikatnya memang Hizashi suka rela
berkorban untuk keluarga Hyuga.
Salah faham Neji
telah membentuk dirinya menjadi seorang yang dingin, matang dan sangat fatalistik.
Idea fatalistik yang dibawa oleh Neji adalah yang paling menonjol sepanjang
pengenalan wataknya. Dalam pasukan Mighty Guy, sikap Neji agak kontradiksi
dengan Rock Lee. Rock Lee yang tidak berbakat dalam sebarang ninjutsu cuba
untuk mengubah nasibnya dengan menguasai taijutsu. Neji dengan idea
fatalistiknya menyatakan mustahil untuk Rock Lee menjadi ninja yang hebat
apabila tidak mengetahui sebarang ninjutsu.
Neji melihat
nasib dirinya sebagai seorang shinobi berbakat. Hal ini membuatkan Neji pada
awal cerita kelihatan sombong dengan kekuatannya sendiri. Neji rasa sudah
memang nasibnya bahawa kekuatannya adalah sebagai keperluan untuk berkhidmat
dengan keluarga utama Hyuga. Dia pernah cuba untuk membuktikan kekuatannya pada
keluarga utama, tetapi tidak mampu. Ini yang membuatkan perasaan fatalistik itu
semakin membesar.
Apabila berjumpa
dengan mana-mana shinobi pun, Neji memang jelas menunjukkan falsafahnya.
Lebih-lebih lagi apabila bertemu dengan shinobi yang dia pandang lebih lemah
daripada dirinya. Kita akan nampak Neji akan selalu berkata pada pihak lawannya
bahawa yang shinobi itu tidak akan mampu mengalahkannya walaupun shinobi itu
berusaha keras sekalipun. Selepas itu, Neji akan sentiasa menyebuat kata-kata
seperti takdir itu memang begitu dan ia tidak boleh diubah.
Dalam falsafah
India purba, idea ini dipelopori oleh Makkhali Gosala yang hidup sezaman dengan
Buddha. Pada asalnya idea ini lebih dekat dengan konsep metafizik dan keagamaan
Hindu yang bersangkut paut dengan kehidupan semula (reincarnation). Idea ini
dikenali sebagai ‘Ajivika’ yang menyatakan bahawa suatu jiwa itu telah
ditentukan takdirnya, yang mana takdir itu bebas dan tidak akan berubah melalui
apa pun tindakan jiwa tersebut. Inilah merupakan idea asal dalam pembentukan
fatalism.
Tetapi, selepas
berjumpa dengan Naruto, Neji berubah. Malah, Neji sendiri menyatakan Naruto
mampu mengubah Sasuke kembali ke ‘jalan yang benar’. Tetapi mungkin juga kita
boleh kata Neji melihat memang sudah takdir Naruto mampu mengubah pandangan
seseorang terhadap sesuatu.
Apabila Neji
merasakan pandangannya mula berubah sebab Naruto, dia mungkin melihat
kekalahannya pada Naruto dan berubah pandangannya terhadap sesuatu sebagai
takdir yang dia sendiri tak sedar bahawa ia tidak boleh diubah. Mungkin Neji
tersalah ‘melihat’ takdir yang dia sendiri sangka. Mungkin juga Neji masih lagi
berfahaman fatalistik, cuma lebih optimis dan tidak pesimis.