26-11-2014
Pada waktu petang 6 November, keadaan di Stesen Tokyo tidaklah terlalu sesak kerana ianya hari Selasa dan juga belum tiba masa balik kerja. Namun, beberapa orang penumpang di stesen tersebut telah mendapati suatu informasi yang luar biasa muncul di papan destinasi di platform Laluan Sobu.
Menurut gambar yang diambil oleh mereka, jelas dilihat destinasi terakhir bagi kereta api yang bertolak pada jam 1:36 petang adalah... New York! Jadi, benarkah penumpang boleh menaiki kereta api dari Tokyo ke New York?!
Tentu tidak, dipercayai insiden ini satu kesilapan penyusunan acara komputer pihak stesen. Buktinya ialah tulisan Kanji merah di sebelah kiri yang menyatakan Dantai (kumpulan). Ini bermakna ia bukanlah kereta api biasa yang boleh dinaiki oleh sesiapa pun tetapi khas untuk orang-orang tertentu.
Kebenarannya ialah kereta api "antara benua" yang bertolak pada jam 1:36 petang sememangnya wujud dan hanya untuk sekumpulan penumpang yang menyertai rombongan 6 hari 4 malam anjuran pihak stesen Tokyo dan Grand Central Station New York. Pada awal tahun ini, Grand Central dan Stesen Tokyo membentuk perhubungan stesen berkembar.
Memandangkan Stesen Tokyo bakal meraikan ulang tahun ke-100 pada Disember ini, pelbagai acara telah diadakan termasuk penghasilan anime pendek yang menyetuh hati serta sebuah rombongan istimewa dari Tokyo terus ke New York.
Pada 5 November , sekumpulan penggemar kereta api telah menyertai rombongan tersebut. Perjalanan mereka bermula dengan bermalam di bilik mewah Tokyo Station Hotel, melawat pejabat ketua stesen, berangkat ke Lapangan Terbang Narita dengan menaiki kereta api peribadi. Dari situ, mereka terus dipindah ke dalam kapal terbang JAL, berlepas dan mendarat di New York, kemudian sekali lagi dipindah terus ke Grand Central dengan menaiki kereta api klasik tahun 1940an untuk melawat stesen tersebut. Akhirnya mereka menjamu selera secara eksklusif di restoran mewah Club 101.