Pokémon GO kini di mana-mana. Dalam masa seminggu sahaja aplikasi ini telah menjadi sensasi di seluruh dunia, dan ini memberikan keuntungan lumayan kepada pengeluarnya Nintendo. Tapi tahukah anda, pencipta aplikasi ini, John Hanke mengambil masa 20 tahun untuk menjadikan Pokémon GO seperti yang kita saksikan hari ini?
Pokémon Go memecahkan semua rekod dengan lebih 10 juta muaturun [download] aplikasi mobile dalam masa seminggu.
Bagaimana John Hanke mencipta kegilaan yang digapai dalam masa 1 malam ini? Berikut 10 fakta perjalanan hidupnya untuk menuju kepada fenomena Pokémon Go.
[1] Tahun 1996, ketika masih seorang pelajar, John dan beberapa orang rakannya mencipta game MMO (Massively Multiplayer Online) pertama yang dinamakan ‘Meridian 59’.
Dia menjual game tersebut kepada 3DO dan berganjak kepada cita-cita yang lebih besar - memetakan dunia!
[2] Tahun 2000, John melancarkan ‘Keyhole’ yang menghubungkan peta dengan foto dari udara, dan mencipta GPS online yang boleh dihubungkan dengan peta 3D di seluruh dunia.
[3] Tahun 2004, Google membeli Keyhole dan dengan bantuan John, Keyhole ditukar menjadi ‘Google Earth’ yang kita lihat pada hari ini. Dari titik inilah John merancang untuk mencipta satu game berasaskan GPS.
[4] John mengetuai kumpulan Google Geo dari tahun 2004 hingga 2010, mencipta dan menambahbaik 'Google Maps' dan 'Google Street View'.
[5] Tahun 2010, John melancarkan Niantic Labs yang dibiayai oleh Google untuk mencipta satu game di atas peta.
[6] Tahun 2012, di bawah Niantic Labs, John telah berjaya mencipta game MMO berasaskan GPS pertama, “Ingress”.
[7] Tahun 2014, Google dan syarikat Pokémon berkolaborasi untuk membuat lawak April Fools, di mana Pokémon muncul dalam carian Google maps.
[8] John membuat keputusan untuk membina game Pokémon Go dan berdasarkan cadangan oleh pemain-pemain game Ingress, terhasilah Pokéstops dan gym di dalam Pokémon Go.
[9] John berjaya mendapatkan dana $25 juta daripada Google, Nintendo, syarikat Pokémon dan pelabur-pelabur lain dari Disember 2015 hingga ke Februari 2016 untuk menubuhkan satu kumpulan yang terdiri daripada 40 orang tenaga operasi sebelum melancarkan Pokemon GO pada tahun ini.
[10] John kumpulannya melancarkan Pokémon Go pada 6 Julai 2016 di USA, Australia dan New Zealand dan aplikasi/game tersebut telah mendapat sambutan di luar jangkaan.
Selepas dilancarkan, nilai saham Nintendo meningkat kepada $12 bilion, dan aplikasi ini telahpun mengaut $2 juta sehari daripada langganannya semenjak dilancarkan. Ini menjadikan Pokémon Go fenomena dalam 1 malam. Jadikan motivasi dan inspirasi daripada kisah John Hanke yang mengambil masa 20 tahun untuk mencipta kejayaannya.