13.10.2015
Orang Jepun sememangnya suka mencipta pelbagai jenis robot dengan abiliti yang pelik, sebelum ini adanya robot mencuci rambut dengan 24 jari, robot mencuci lantai dan robot menyuap tomato semasa penggunanya berlari.
Kini, sebuah lagi robot diperkenalkan dan ia mampu meringankan kerja rumah si pengguna dengan abiliti... melipat pakaian.
Diberi nama Laundroid, reka bentuk robot ini kelihatan seperti sebuah almari, ia merupakan hasil kerjasama teknologi canggih Panasonic, Daiwa House(pembangun harta tanah terbesar di Jepun) dan juga Seven Dreamers (syarikat yang pernah mengambil bahagian dalam penciptaan pesawat angkasa Hayabusa).
Menurut keterangan pihak berkenaan, teknologi "berkualiti angkasa lepas" kini boleh dinikmati oleh manusia di Bumi. Dengan analisis imej, Laundroid boleh mengimbas dan memastikan jenis pakaian yang diterimanya, kemudian proses robotik melipat pakaian akan diaktifkan mengikut jenis pakaian tersebut. Buat masa ini, ia mampu melipat baju-t, kemeja, skirt, seluar panjang, seluar pendek dan tuala. Namun begitu, sarung kaki merupakan cabaran terbesar buat robot ini.
Walau bagaimanapun, pihak pencipta sedang mengusahakan penyelesaian dan dijangka masalah tersebut dapat diatasi apabila Laundroid menemui pasaran.