Apabila suara
tidak didengari, ke manakah perginya isi hati?
Koe no Katachi
(Bentuk Suara), manga karya Yoshitoki Oima, adalah satu perjalanan emosi yang
berliku dan amat dekat dengan hatiku ketika mana aku membacanya beberapa tahun
dahulu. Walaupun menggunakan medium perantaraan yang statik, karya tersebut
mampu menggamit jiwa para pembaca. Sebab itulah, ketika mana diumumkan bahawa
Kyoto Animation (K-On!, Hibike Euphonium, Kyokai no Kanata) akan
mengadaptasikan manga tersebut menjadi filem, aku tertunggu-tunggu hasilnya
dengan perasaan teruja dan juga curiga. Tambahan lagi, sentuhan direktor
prolifik, Naoko Yamada yang terkenal dengan gaya seni dia yang pragmatic turut
membuatkan para peminat teruja. Bukan satu hiperbola untuk aku mengatakan
bahawa filem ini mempunyai resepi untuk sebuah karya anime yang cukup sempurna.
Pendek cerita,
mereka berjaya.
Koe no Katachi
menceritakan tentang seorang gadis pekak, Nishimiya Shouko yang dibuli dan
Ishida Shouya, sehinggakan Nishimiya terpaksa berpindah sekolah. Lantaran itu,
Ishida dijadikan kambing hitam dan disisirkan dan dibuli oleh rakan sebayanya
yang lain. 5 tahun kemudian, selepas mengalami isolasi dan kejanggalan sosial
yang teruk, Ishida berharap untuk berbaik semula dengan Shouko sebelum membunuh
diri.
Jalan cerita
yang, jika sekilas pandang mungkin dianggap cerita seram untuk membalas dendam,
ini dijadikan sebuah cerita tentang penemuan diri yang dekat di hati, hasil
daripada perwatakan dan pengarahan yang sangat baik. Melalui penggunaan sudut
kamera dan seni visual yang kreatif, Naoko Yamada telah berjaya memadatkan
emosi kompleks setiap watak menjadi klu visual yang mencuit perhatian penonton.
Ada kala kamera seperti gusar memandang muka watak apabila mereka berbual,
menunjukkan situasi tegang hubungan antara mereka.
Ada kala kamera
mengundang rasa claustrophobia apabila muka watak dizoomkan di skrin untuk
diteliti ekspresi mereka. Sentuhan Naoko Yamada amatlah menonjol dengan sudut
kamera menunjukkan kaki watak untuk menunjukkan keadaan emosi mereka secara
tidak sedar kepada penonton. Nilai estetika yang tinggi dan juga teknik animasi
turut dalam menonjolkan perasaan watak. Ada kala mereka lembut jika memerlukan
kehalusan dan juga ekspresif ketika memerlukan reaksi penonton. Kesemua ini
menghasilkan drama yang seakan-akan realiti dan juga suasana ketegangan di dalam
panggung wayang, sehinggakan mampu mendengar degupan jantung sendiri.
Koe no Katachi
menggunakan wataknya untuk impak maksima. Setiap daripada perwatakan mereka
dijelaskan dengan begitu baik sekali sepanjang 2 jam filem itu berlangsung.
Apabila filem sudah tamat, aku rasakan seperti memahami dan mengenali watak
tersebut dalam reality. Seperti mana aku memahami perwatakan Ishida yang
kompleks dan janggal, perwatakan Nishimiya yang apologetik dan banyak
kekurangan. Seperti mana aku mengenali gaya lawak sakan Nagatsuka yang sungguh
menghiburkan dan juga watak Ueno yang jujur tetapi kejam. Setiap daripada
mereka adalah amat kompleks dan mempunyai perwatakan yang mendalam. Sesetengah
watak kecil dalam filem ini tidak mampu diperwatakkan dengan teliti. Walaubagaimanapun,
kita dapat lihat beberapa petunjuk halus kepada personaliti mereka. Pada
pandangan aku, para pembaca manga akan lebih untung dalam hal ini.
Pengunaan premis
cerita dan watak yang pelbagai dan kompleks ini membuatkan filem ini merasakan
realistik dan dramatik, bukan setakat melodrama sesi persekolahan. Perjalanan
Ishida dan Nishimiya menyatukan kembali serpihan zaman kanak-kanak mereka
membawa kepada naratif yang mengharukan. Apa yang terselah di sebalik luka-luka
lama adalah persoalan tentang pebulian, kesunyian, kemurungan, dosa-dosa lama
dan juga kemaafan terhadap orang lain dan juga diri sendiri. Pada dasarnya, Koe
no Katachi menonjolkan persoalan yang berat sekali; tentang hubungan dan
kesukaran berhubung melalui kata-kata yang disebut dan juga disimpan.
Kesemuanya
diiringi dengan pemilihan musik dan pengarahan bunyi yang hebat. Bunyi dan
musik, diselangi dengan keberanian menggunakan kesunyian sangat membantu filem
ini merealisasikan suasana di dalam panggung wayang. “Bentuk Suara” yang
hakikatnya tidak berbunyi dapat disampaikan kepada para penonton dengan
kesunyian tersebut. Skor musiknya pula menakjubkan, yang banyak menggunakan
piano usang, berbunyi seperti ia seakan-akan pecah.
Pembaca manga
Koe no Katachi mungkin akan kecewa dengan beberapa butiran jalan cerita yang
dipotong dalam filem tersebut. Walaubagaimanapun filem tersebut telah berjaya
meceritakan sesuatu yang mantap dan sedikit sangat cacat celanya. Aku belajar
untuk menangis, untuk ketawa kemudian menangis kembali keitka menonton filem
ini. Cerita ini menimbulkan emosi yang jarang dicetuskan oleh karya lain.
Sebuah filem yang meneroka tema berat seperti penerimaan dan predamaian diri
dan rakan-rakan. Sebuah hasil seni yang amat bernilai.
Tulisan Shahrul iman The Patriots